Pendidikan
Perumahan
Penjagaan Kesihatan
Alam Sekitar
Undang-undang & Ketenteraman
Perwakilan
Pengagihan Kekayaan
Pekerjaan

Pendidikan

Taraf dan kualiti pendidikan yang merudum membimbangkan golongan belia. Walaupun kebanyakan belia gembira dengan masa yang diperuntukkan untuk subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, tetapi hanya segelintir dari mereka yang berpuas hati dengan sistem pendidikan Malaysia sekarang. Sekolah dibuka dan ditutup berulang kali sepanjang pandemik. Pembelajaran atas talian mengakibatkan pelajar yang kurang bernasib baik ketinggalan dalam pelajaran disebabkan capaian perkhidmatan Internet yang terhad. Pelajar di kawasan luar bandar pula berkemungkinan tidak mendapat peluang pendidikan dan mempunyai peluang yang lebih rendah untuk berjaya dalam peperiksaan ataupun mendapatkan biasiswa. Bahkan, pelajar Tingkatan 5 sering mengalami kelewatan dalam peperiksaan SPM mereka. Hal ini menyukarkan mereka untuk bersedia dan membuatkan mereka tertekan kerana peperiksaan.
Segelintir belia juga percaya bahawa sekolah bukanlah tempat yang sentiasa selamat untuk pelajar. Isu seperti diskriminasi dan gangguan masih wujud di sekolah. Belia bimbang sekiranya sekolah tidak cukup serius dalam menangani perkara ini dan tidak mampu melindungi keselamatan para pelajar. Pendidikan sentiasa menjadi isu penting di Malaysia dan akan berterusan begitu dalam pilihan raya akan datang.
Pendapat anak muda terhadap sistem pendidikan nasional terbelah - di mana 38% berasa neutral, 27% berasa ia memuaskan dan 35% tidak berpuas hati.
Walaupun kebanyakan belia berasa sistem pendidikan telah memperuntukkan masa yang cukup bagi beberapa mata pelajaran, golongan Bumiputera mahu lebih banyak masa diberi untuk subjek Bahasa Melayu manakala bukan Bumiputera mahu lebih banyak masa diberi untuk subjek Bahasa Inggeris.

Lebih Lanjut Mengenai Ini

Tingkat kualiti pembelajaran
View article
Education during a pandemic and beyond
View article
The problems with our local education system
View article

Perumahan

Pasaran perumahan di Malaysia semakin meningkat mahal. Membeli hartanah adalah antara tumpuan utama golongan belia apabila mereka menginjak usia dewasa atau mulai berkeluarga. Menurut Indeks Harga Rumah Malaysia, purata harga hartanah di Malaysia meningkat hampir dua kali ganda sejak 2010. Kerajaan sememangnya mempunyai dasar untuk menyediakan lebih banyak pilihan perumahan mampu milik melalui perumahan yang disediakan. Walau bagaimanapun, pasaran perumahan swasta kekal mahal untuk belia. Kadar sewa juga adalah sangat tinggi terutamanya di kawasan bandar.
Belia biasanya akan menyewa berbanding dengan membeli hartanah kerana pendapatan mereka yang rendah. Hal ini kerana sesetengah daripada hartanah ini dibeli sebagai satu bentuk pelaburan dan bukannnya sebagai tempat kediaman lantas menyebabkan kadar sewa yang tinggi. Lebih 50% belia percaya bahawa kadar sewa sepatutnya mempunyai had atau kerajaan perlu menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik. Ramai belia meragui kemampuan mereka untuk membeli rumah dalam seumur hidup mereka oleh sebab trend pasaran perumahan yang semakin membimbangkan. Kesannya bertambah teruk apabila pandemik menyebabkan kurangnya pendapatan. Biarpun begitu, trend ini boleh diubah jika dasar perumahan yang lebih efektif dan ketat dilaksanakan agar belia hari ini mampu memiliki hartanah sendiri pada masa depan.
59%
anak muda risau mereka tidak akan mampu membeli rumah sepanjang hayat mereka.
90%
anak muda mahu kerajaan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik.
75%
anak muda mahu menetapkan harga siling terhadap harga sewa yang ditetapkan oleh tuan tanah.

More on this

Wujudkan Tabung Perumahan Negara
View article
RM19.75 billion worth of unsold houses in Malaysia
View article
Why is affordable housing not so affordable?
View article

Penjagaan Kesihatan

Pandemik yang berlaku membimbangkan golongan belia tentang sistem kesihatan Malaysia. Umumnya, belia berpuas hati dengan sistem kesihatan kita sekarang tetapi percaya perlunya belanjawan yang lebih besar. Meskipun warganegara Malaysia pantas dalam mendapatkan vaksin, namun ramai pesakit COVID-19 diketepikan dari menerima rawatan yang diperlukan di hospital kerana wad yang tidak mencukupi. Belia ingin melihat peruntukan yang lebih besar diberikan kepada sistem kesihatan awam kita untuk mengelakkan ia dari terbeban.
Tambahan pula, sebahagian besar belia percaya bahawa kerajaan juga perlu meningkatkan sumber untuk perkhidmatan kesihatan mental. Kegusaran dijangkiti COVID-19 dan kehilangan orang tersayang menyebabkan kes kemurungan, kebimbangan dan tekanan semakin meningkat di kalangan orang awam. Sektor penjagaan kesihatan mental sekarang ini kekurangan tenaga kerja profesional dan juga kesenjangan akses terhadap perkhidmatan kesihatan mental, terutamanya di kawasan luar bandar. Golongan belia memandang serius tentang kesihatan mental kerana belia hari ini berhadapan dengan cabaran hidup yang lebih sukar.
43%
anak muda berpuas hati terhadap sistem penjagaan kesihatan kerajaan.
85%
anak muda mahu kerajaan meningkatkan bajet sistem penjagaan kesihataan.
86%
anak muda mahu kerajaan meningkatkan sumber perkhidmatan kesihatan mental.

More on this

Kesihatan mental rakyat makin membimbangkan
View article
The case for more mental healthcare workers ― National Cancer Society Malaysia
View article
'Concrete healthcare plan needed'
View article

Alam Sekitar

Sebahagian besar belia bimbang tentang perubahan iklim di Malaysia. Hal ini kerana perubahan iklim akan bertambah buruk pada masa hadapan. Belia hari ini akan menerima kesan perubahan iklim yang lebih teruk dari generasi sebelumnya. Bahkan, beberapa kesan perubahan iklim ini sudah boleh dirasai. Sebagai contoh, banjir yang berlaku baru-baru ini di Selangor dan Terengganu menunjukkan betapa tidak bersedianya kita dalam menguruskan bencana dan menyelamatkan manusia. Peristiwa ini menunjukkan bagaimana kehidupan manusia boleh musnah akibat bencana alam. Kanak-kanak misalnya antara golongan yang paling rentan ketika bencana alam tapi jarang diambil kira sewaktu dasar iklim dirangka.
Ramai belia berpendapat bahawa hukuman bagi pembalakan haram perlu lebih tegas dan pembangunan infrastruktur patut dikurangkan demi melindungi alam sekitar. Belia percaya bahawa keadilan alam sekitar juga adalah keadilan sosial. Aktiviti seperti pembasmian hutan, perbandaran pesat atau peningkatan penduduk telah meningkatkan kesedaran belia terhadap alam sekitar. Isu alam sekitar merupakan antara isu yang belia mahu calon pilihan raya utamakan pada masa depan.
75%
anak muda risau terhadap perubahan iklim di Malaysia.
85%
anak muda mahu kerajaan menguatkuasakan hukuman yang lebih berat ke atas pembalakan haram.
66%
anak muda mahu kerajaan untuk mengurangkan pembangunan infrastruktur untuk melindungi alam sekitar.

More on this

Tingkat kesedaran, tanggungjawab pulihara alam sekitar
View article
Malaysian children’s health, well-being adversely affected by climate change, Unicef study finds
View article
What environmentalism must be concerned about: The forgotten issues of climate change — Murray Hunter
View article

Undang-undang & Ketenteraman

Golongan belia berbeza pendapat tentang undang-undang dan ketenteraman. Sebagai contoh, ada yang bersetuju bahawa kerajaan perlu memansuhkan hukuman mati, dan ada juga yang tidak bersetuju. Hal yang sama boleh dilihat dalam isu seperti mengurangkan hukuman bagi pemilikan dadah atau kebebasan bersuara. Segelintir belia percaya bahawa ucapan yang menghina dan menyinggung perasaan institusi beraja patut dihukum. Segelintir yang lain pula percaya bahawa mereka yang mengeluarkan kenyataan sedemikian tidak patut dihukum. Hal ini menunjukkan bahawa belia berbeza pendapat tentang apa yang betul dan salah tentang undang-undang dan ketenteraman di Malaysia.
Antara hal yang wajar diberikan perhatian adalah apabila ramai belia tidak jelas pendirian mereka terhadap isu-isu ini. Mereka bersikap atas pagar tentang sama ada hukuman mati perlu dimansuhkan atau kebebasan bersuara perlu ada had. Ramai belia hari ini menggunakan media sosial untuk terlibat dengan politik. Platform ini digunakan mereka untuk berbincang mengenai perkara-perkara yang melibatkan negara. Oleh kerana media sosial merupakan wahana terbuka, ia sedikit sebanyak mempengaruhi belia dalam menanggapi kebebasan bersuara. Meskipun kebebasan bersuara di media sosial sering dilihat sebagai bebas, namun ia masih terikat di bawah undang-undang. Melihat bagaimana isu kebebasan bersuara ini sangat rencam terutamanya dengan kemunculan pelbagai wahana media sosial, perbincangan tentang apa yang dianggap sebagai sebagai kebebasan bersuara atau ucapan kebencian berkemungkinan akan berterusan. Walau apapun pandangan belia, ini jelas menggambarkan bahawa mereka mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang adil pada warganegaranya.
34% anak muda berasa neutral terhadap penghapusan hukuman mati, manakala 33% bersetuju dan 28% tidak bersetuju.
57%
anak muda tidak mahu kerajaan mengurangkan hukuman terhadap pemilikan dadah.
59% anak muda risau mereka akan menghadapi kesukaran akibat perkara yang ditulis atau disiarkan atas talian. Pada masa yang sama, 51% anak muda mahu kerajaan menghukum penyataan kesat yang disiarkan atas talian dan 45% anak muda mahu penghukuman ke atas penghinaan terhadap monarki.

More on this

Selain hukuman mati, ini 5 perkara anda perlu tahu tentang undang-undang dadah di Malaysia.
View article
Malaysia: Artist arrested for 'insulting queen' with Spotify playlist
View article
Death Penalties For Malaysians Ignite Debate on Abolishing Capital Punishment
View article

Perwakilan

Politik Malaysia sering dikuasai oleh lelaki dari bangsa majoriti. Penyertaan golongan minoriti di dalam politik masih kecil. Sebagai contoh, golongan wanita hanya membentuk tidak kurang dari 30% lantikan politik meskipun separuh dari warganegara Malaysia terdiri daripada wanita. Bahkan penyertaan belia di dalam parlimen juga rendah oleh kerana 70% daripada penggubal undang-undang di Malaysia adalah mereka yang berumur 70 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, belia secara umumnya berpuas hati dengan perwakilan kaum dalam politik.
Keutuhan Malaysia datang dari kepelbagaiannya. Ramai pemimpin wanita di seluruh dunia telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dalam politik. Malah golongan belia juga memainkan peranan yang besar dalam membawa perubahan. Pada tahun lepas, belia telah memulakan Gerakan #Lawan dan menjadi antara yang terkehadapan dalam mendorong pembaharuan politik meskipun ketika sedang dalam pandemik. Pada 2021, seramai 7.8 juta pengundi belia telah ditambah ke dalam daftar pemilih, yang bermaksud belia akan mempunyai lebih banyak pengaruh dalam kerajaan yang dibentuk pada waktu itu. Perwakilan politik yang lebih luas akan membawa kepada polisi yang lebih saksama kepada setiap masyarakat Malaysia yang pelbagai.
50%
anak muda berasa penglibatan wanita dalam politik adalah tidak mencukupi.
63%
anak muda berasa penglibatan belia dalam politik adalah tidak mencukupi.
Anak muda daripada kaum Melayu berasa penglibatan kaum minoriti dalam politik adalah cukup, tetapi anak muda daripada kaum Cina, India dan Bumiputera lain berasa ia tidak mencukupi.

More on this

Tanggungjawab parti politik tampilkan wakil wanita
View article
Increasing women’s representation in Malaysian politics
View article
Commentary: Malaysian youths will force a political reckoning some day. That day may be at hand
View article

Pengagihan Kekayaan

Jurang kekayaan di Malaysia semakin melebar apabila yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Ketidakadilan sosioekonomi telah lama wujud di Malaysia disebabkan kekayaan negara hanya tertumpu pada kelompok etnik tertentu. Pada 1971, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan. Tujuan utamanya adalah untuk melaksanakan tindakan afirmatif bagi membantu golongan Bumiputera memperoleh peluang pendidikan dan pekerjaan agar pengagihan kekayaan di negara ini menjadi lebih saksama. Statistik pada waktu itu menunjukkan bahawa sosioekonomi golongan Bumiputera mundur berbanding golongan bukan Bumiputera. Biarpun DEB telah diperkenalkan sejak 51 tahun dahulu, jurang kekayaan di Malaysia masih kekal.
Belia hari ini beriltizam untuk mencipta masyarakat yang memberi peluang yang saksama tanpa mengira identiti seseorang. Di samping memahami bahaya menyalahgunakan tindakan afirmatif, mereka juga menyedari tentang pentingnya untuk membangunkan masyarakat yang kurang bernasib baik dalam beberapa aspek penting kehidupan. Sebagai contoh, sebahagian besar belia percaya bahawa golongan Bumiputera perlu diberi keutamaan dalam beberapa perkara seperti kemasukan ke kolej, pekerjaan dalam sektor awam, pinjaman perusahaan mikro atau kecil dan diskaun perumahan. Golongan belia ingin melihat dasar-dasar sedemikian dilaksanakan dengan berkesan agar masyarakat yang kurang bernasib baik dapat diberi peluang untuk meningkatkan kekayaan mereka demi kehidupan yang makmur.
Majoriti anak muda Malaysia bersetuju bahawa golongan Bumiputera patut diberi layanan yang lebih utama dalam pelbagai sektor sekurang-kurangnya kadang kala.
Walau bagaimanapun, golongan anak muda Bumiputera lebih cenderung untuk berasa golongan Bumiputera patut diberi layanan yang lebih utama pada setiap masa, manakala anak muda daripada kaum Cina berasa ia hanya patut diberi secara kadang kala dan anak muda daripada kaum India berasa ia tidak patut diberi sama sekali.

More on this

MySay: A new economic policy for a new Malaysia
View article
Time to act on Malaysia’s affirmative action
View article
Keluar Dari Dikotomi Palsu, Ke Arah Tindakan Afirmatif Yang Adi
View article

Pekerjaan

Ramai belia kini sedang berhadapan dengan pengangguran, terutamanya graduan baharu kerana kurangnya peluang pekerjaan. Meskipun dasar COVID-19 oleh kerajaan menumpukan pada penciptaaan pekerjaan melalui program-program khusus kepada graduan baharu dan mereka yang baru bekerja, namun rencana ini gagal mencapai sasaran. Golongan belia juga mungkin berasa sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan majikan tidak mengambil pekerja baharu kerana ingin mengurangkan kos semasa pandemik. Belia yang sedang menganggur juga bergelut dengan jaminan pekerjaan kerana mereka memulakan kerjaya dengan kelayakan yang sedikit dan tidak mampu bersaing dengan pekerja sedia ada yang lebih berpengalaman.
Tambahan pula, belia turut menzahirkan kebimbangan mereka tentang gaji yang dibayar majikan. Sebahagian besar belia percaya bahawa gaji minimum perlu dinaikkan. Kos sara hidup semakin meningkat oleh sebab inflasi dan belia perlu berkemampuan dalam menampung keperluan asas jika sekurang-kurangnya ingin hidup sederhana atau selesa. Tambahan pula, hampir 90% belia bersetuju bahawa perlindungan bukan sahaja patut diberikan kepada pekerja biasa bahkan juga kepada mereka yang bekerja sendiri ataupun pekerja gig. Oleh itu, pekerjaan dan jaminan pekerjaan mungkin akan menjadi pertimbangan utama bagi belia dalam pilihan raya akan datang.
52%
anak muda risau mereka tidak dapat mencari pekerjaan pada masa hadapan.
87%
anak muda mahu kerajaan meningkatkan gaji minimum melebihi RM1,200.
88%
anak muda mahu kerajaan meluaskan perlindungan pekerjaan kepada pekerja gig termasuk pemandu e-panggilan dan pekerja penghantaran.

More on this

Pengangguran belia membimbangkan
View article
Address youth unemployment
View article
The Covid-19 recession: Rough times for young Malaysians
View article

Apakah yang anda mahu untuk masa depan Malaysia?

Kongsikan dengan kami!

Idea anda dapat membantu kami memastikan pemimpin masa depan maklum dengan cadangan dan dasar yang anda mahu yang akan memberikan kesan terhadap cara kita mentadbir negara.
Thank you! Your submission has been received!

Your aspiration is now on our homepage!
Oops! Something went wrong while submitting the form.